Sunday, April 19

suami tauladan!!

Assalamualaikum...

Lebih kurang tiga minggu yang lepas saya membawa isteri ke 'Mahkota Medical Centre', dia mengadu kepada saya kepalanya pening, rasa mual dan badanya lenguh-lenguh. Saya tanya dia"mengandung kot?" Dia kata tak ada. Oleh kerana 2-3 hari macam tu saja,saya bawak dia jumpa doktor dan ternyata.... isteri saya mengandung dua bulan. Emmm saya dah agak dah.Maka bermulalah cerita baru dan haluan sejarah masa depan akan pastinya berubah lagi.

Dia akan merasa loya dengan bau yang sebelum ini senang baginya, termasuklah bau badan saya. Morning sickness yang teruk sekali bagi isteri saya.Kasihan sungguh, terbaring saja sepanjang masa. Makan tak boleh, minum tak nak, apa pun tak nak. Adakalanya isteri saya semalaman tak dapat tidur, kadang-kadang tu asyik nak tidur saja. Selesai saja solat Isyak dah masuk bilik. Pada awalnya saya tidur kat luarlah sebab dia tak boleh bau badan saya. Saya fahamlah orang mengandung memang macam tu, sekarang ni dah boleh tidur dengan saya dan saya sudah tahu macamana nak elakan insomnia yang dialaminya, iaitu dengan membaca Al-Quran sehingga isteri saya terlelap.Memang kebiasaan sebelum mengandung pun saya akan membaca Al-Quran diatas katil di sisi isteri sebelum tidur sehinggalah dia terlelap.

Sekarang saya terus membaca Al Quran disisinya sebagai ubat tidur bagi isteri dan anak dalam kandungan. Adakalanya sampai 2-3 jam.Bukan itu sahaja, saya juga sentiasa bercakap-cakap dengan janin dalam perutnya. Perkara yang mula-mula saya ceritakan padanya ialah tentang tauhid. Saya bermula dengan kitab pertama yang saya pelajari dahulu iaitu kitab 'Kasyaful Mahjub'. Mungkin ada pembaca yang berkata saya terlalu ghairah, kebarangkalian untuk janin survive masih tipis. Tapi mana ada ayah yang tak berharapan. Segarang-garang harimau pun tak makan anak, apatah lagi saya. Apa yang akan berlaku pada kemudian hari adalah diluar bidang kuasa saya. Siapa saya untuk mempersoalkanya.

Saya bercerita kepadanya tentang Allah, zat, sifat, asma, afal. Dan cerita itu kembali bercerita kepada diri saya. Ada yang menghantar email dan bertanya bagaimana mahu mensihati anak agar tidak degil. Jawapan yang mahu saya nyatakan bukan hanya untuk anak tetapi untuk sesiapa sahaja terutamanya yang mempunyai hubungan rapat dengan kita.Tak kiralah anak, isteri atau suami. Bagaimana?

1. Semasa anak atau isteri kita sedang tidur inilah waktu yang paling sesuai terutamanya diwaktu dua pertiga malam, kerana fikiran bawah sedarnya(sub conscius mind) adalah paling optimum ketika ini. Yang tidur hanyalah conscius mind (minda sedar).

2.Sentuhkan ibu jari anda ke langit-langit dan kemudian sentuhlah dengan halus ibu jari anda ke ubun - ubun orang yang ingin anda nasihati.

3. Semasa ibu jari diatas ubun-ubun selawatlah ke atas junjungan Nabi Muhamad dan bacalah surah al fatihah. Kemudian terus dengan berzikir didalam hati dan jangan putuskan zikir anda.

4. Angkat ibu jari anda,kalau boleh janganlah di putuskan zikir didalam hati dan bercakaplah dengan suara yang agak perlahan agar tidak sampai mengejutkanya. Beritahulah apa yang ingin anda beritahunya. Kebiasaannya saya akan menasihati isteri saya agar tidak selalu melewatkan solat,banyakkan berselawat, banyak bersabar.

Nasihatilah orang yang anda sayangi dengan apa sahaja nasihat yang anda inginkan. Jangan putuskan zikir anda, supaya zikir itu masuk bersama dengan nasihat anda

5. Anda akan dapat melihat reaksi yang dia sedang menerima pernyataan anda iaitu kelopak matanya bergerak-gerak. Insyallah saya doakan diri saya dan anda berjaya dengan kaedah ini.

Pernah di zaman Imam Abu Hanifah (Hanafi An Nu'man), seseorang pernah bertanya kepada bapa Imam Abu Hanifah. "Tuan, bagaimanakah tuan mendidik Hanafi sehingga begini istimewa jadinya. Jawab bapa Imam Abu Hanifah "Aku didik Hanafi 40 tahun sebelum dia dilahirkan". Kalau didengar pernyataan ini tentu aneh bagi kita bukan. Bagaimana mungkin manusia yang belum dilahirkan sudah di didik. Namun apa yang ingin disampaikan oleh Tsabit (bapa Imam Abu Hanifah) ialah dia sendiri telah diasuh, manakala isterinya juga sudah di didik dan Hanafi sendiri sudah dididik sejak dari kandungan lagi. Saya beri anda satu logik akal, acuan yang bulat mana mungkin menghasilkan kuih segiempat. Begitu juga dengan anak dan isteri kita. Mereka adalah cermin kepada diri kita sendiri.

Saya bacakan kisah ini kepada janin yang sedang membesar dalam perut isteri saya. Saya sentiasa berdoa agar dia terus membesar dan dilindungi Allah sebagaimana Allah memelihara Imam Abu Hanifah. Saya nasihatkan dia dengan nasihat yang disuarakan oleh Luqman Al Hakim kepada anaknya. Saya bacakan kisah para rasul, para nabi,wali songo, tujuh wali melayu kepadanya. Cuma isteri saya menasihati agar suara saya tidak terlalu kuat, bimbang didengar oleh jiran, apa pula kata mereka nanti.

Dalam kepekatan malam, isteri saya sudah pun yenyak dibuai mimpi. Saya baru selesai membaca surah yasin disisi isteri hingga dia terlelap. Saya kehalaman rumah, mahu merenung langit malam, satu-satunya hobi saya semenjak kecil semenjak di rumah anak-anak yatim piatu, saya bawa hingga kini. Langit agak terang dan bersih. Saya bersandar dibangku marmar. Kalau isteri saya sihat pastinya dia menemani saya disini, kami akan bercerita tentang segala-galanya, tentang masa depan, tentang anak, tentang cinta, tentang tuhan.

Saya terus merenung langit malam, saya anak yatim piatu yang ditinggalkan ditengah padang rumput,sehingga sekarang tidak diketahui siapa ibu ayah saya. Kini saya akan menjadi ayah. Bermula dari saya akan wujud salasilah keturunan yang baru.Saya bertekad dalam hati, Insyallah jika anak ini lahir, dia tidak akan saya biarkan membesar seperti saya. Dia tidak akan saya biarkan menagih kasih dirumah kebajikan.Dia tidak akan melalui zaman pahit seperti saya. Dia tidak perlu dibohongi yang teddy bear adalah'mama'nya seperti saya. Air mata ini mengalir lagi. Mudah benar ia tumpah.Oh! janganlah tumpah lagi.Sudah terlalu banyak tertumpah.Kalau mahu tumpah biarlah ketika sujud menyembah ilahi.Pesan guruku air mata lelaki jangan ditumpahkan sia-sia.

Saya tidak mahu terus melayan perasaan,segera saya kuncikan pintu dan ke kamar tidur.Isteri saya telah pun nyenyak dibuai mimpi.Inilah 'bintang timur' dalam hidup saya.Ia sentiasa bersinar cemerlang dalam hidup saya,memberi harapan,keyakinan,kesetiaan dan cintanya kepada saya.Insyallah tidak lama lagi,akan muncul 'bintang timur kecil' dalam hidup saya.
PENGALAMAN DARI SEORANG SAHABAT yang ok,your sahabat sejati.

Tuesday, April 14

kejut kan lah kawan2 mu!!!!


Mengejutkan orang yang tidur disunatkan sekiranya orang itu tidur dalam keadaan berikut:

Pertama:

seorang yang tidur di masjid dan waktu solat sudah tiba. Ini berdasarkan hadis Abu Bakrah ra, beliau berkata:

خرجت مع النبي صلى الله عليه وسلم لصلاة الصبح فكان لا يمر برجل إلا ناداه بالصلاة أو حركه برجله

“ Aku keluar bersama Nabi saw untuk menunaikan solat subuh. Beliau tidak lalu pada mana-mana lelaki melainkan akan menyerunya untuk solat atau menggeraknya untuk solat dengan kakinya.” (Hr Abu Daud 1246 – semua perawinya thiqah)

Kedua:

Orang yang tidur dihadapan orang yang solat kerana menggangu orang yang solat.


Ketiga:


Tidur diatas permukaan bangunan tanpa penghadang.
Rasulullah saw bersabda:


من بات على ظهر بيت ليس له حجار فقد برئت منه الذمة

“Sesiapa yang tidur diatas permukaan bangunan tanpa ada penghadang (dari jatuh bangunan), sesungguhnya telah terlepas dari tanggungjawab mana-mana pihak (sekiranya jatuh). (Hr Abu Daud – semua perawinya adalah thiqah)

Keempat:


Tidur dalam keadaan separuh badan terkena cahaya matahari dan setengah lagi tidak kena.


Nabi saw bersabda:


إذا كان أحدكم في الشمس فلقص عنه الظل وصار بعضه في الشمس وبعضه في الظل فليقم

“Apabila salah seorang kamu berada di bawah pancaran matahari, kemudian matahari menaik dan sebahagian tubuh mu terkena pancaran matahari dan sebahgian yang lain tidak kena , hendaklah dia beredar.” (Hr Abu Daud – semua perawinya thiqah)


Kelima:


Tidur waktu subuh.

Nabi saw bersabda:


الصبحة تمنع الرزق

“Tidur subuh menegah rezki.” (Hr Ahmad – sanad lemah)


Umar bin Abdul Aziz apabila melihat anaknya sedang tidur waktu subuh, beliau mengejutkannya dan berkata:


الأرزاق تقسم وأنت نائم

“Rezeki dibahagi2kan sedangkan engkau tidur.”

Keenam:

Tidur sebelum isya kerana makruh tidur waktu itu. Ini disebut dalam hadis yang panjang, riwayat dari Abi Bakrah ra dimana beliau berkata:

كان يكره النوم قبلها والحديث بعدها

“Baginda tidak suka tidur sebelum solat isya dan sembang-sembang selepasnya.” (Hr Bukhari - sahih)


Ketujuh:

Tidur lepas solat asar.

Nabi saw bersabda:


من نام بعد العصر فاختلس عقله فلا يلومن إلا نفسه

" Sesiapa yang tidur selapas solat asar dan hilang akalnya , janganlah dia mencela melainkan dirinya.” (Hr Abu Ya’la – Sanad lemah)


Kelapan:


Tidur berseorangan di rumah. Hukum ini disebut oleh al-Hulaimi dalam kitabnya al-Minhaj Fi Syu’abil Iman.


Kesembilan:

Perempuan yang tidur menelentang. Ini kerana ianya makruh seperti yang disebut dalam kitab yang sama.
Umar bin Abdul Aziz telah menegah anaknya yang tidur sedemikian.


Kesepuluh:

Seseorang yang tidur meniarap. Baginda melihat seorang lelaki meniarap. Lalu baginda bersabda:

إن هذه ضجعة يبغضها الله ورسوله

Maksudnya: “Sesungguhnya ini adalah cara baring yang dimurkai oleh Allah dan Rasulnya.” (Hr Tirimizi dan Ahmad-hasan lighairihi)


Abu Umamah r.a berkata: Nabi s.a.w lalu dekat seorang lelaki yang tidur meniarap di Masjid. Lalu baginda memukulnya dengan kakinya dan berkata:

قم واقعد فإنها نومة جهنمية

Maksudnya: “Bangunlah kamu dari tidur dan duduklah sesungguhnya ini adalah cara tidur ahli neraka jahannam.” (Hr Ibnu Majah)

Kesebelas:

Mengejutkan orang tidur untuk bangun qiamullail.

Nabi saw bersabda:

رحم الله رجلا قام من الليل فصلى وأيقظ امرأته فإن أبت نضح في وجهها الماء رحم الله امرأة قامت
من الليل فصلت وأيقظت زوجها فإن أبى نضحت في وجهه الماء

“Allah merahmati lelaki yang bangun malam, menunaikan solat dan mengejutkan isterinya. Sekiranya isterinya enggan, dia akan merenjiskan air pada muka isterinya. Allah merahmati wanita yang bangun malam, menunaikan solat dan menegejutkan suaminya. Sekiranya suaminya enggan, dia akan merenjis air ke muka suaminya. (Hr Abu Daud 1308 – perwai2nya thiqah)


Ke dua belas:

Mengejutkan orang yang tidur untuk bangun sahur.
Nabi saw bersabda:

إن بلالا ينادي بليل فكلوا واشربواحتى ينادي ابن مكتوم

“Sesungguhnya bilal akan mengumandangkan azan pada waktu malam (sebelum subuh), maka makanlan dan minumlah sehingga Ibnu Maktum mengumandangkan azan subuh.” (Hr Muslim)


Rujukan: Tashilul Maqasid li Zuwwarul Masjid oleh Ibnul Ammad, Aunul Ma’bud oleh al-Abadi dan an-Nihayah oleh Ibnul athir.
Tidur-tidur yang sunat dikejutkan

Tuesday, April 7

Kuasa Mata,Kesan dan Rawatannya Dalam Islam

-Taubah:119
Saturday, April 4, 2009
Sai'd bin Amir ; pemimpin islam yang zuhud

Pada zaman saidina Umar ra , tanah Syam adalah pusat perniagaan yang besar dan hebat. Umar perlu memilih seorang gabenor yang sesuai supaya dapat memerintah bumi Syam dengan baik. Akhirnya beliau telah memilih Sa’id bin Umar ra sebagai wali (ketua) Syam. Apabila Umar ra mengajukan jawatan wali Syam kepadanya, beliau menjawab :


لا تفتني يا أمير المؤمنين


“ Jangan campakkan aku ke dalam fitnah hai amirul mukminin.”


# sebagai seorang beriman hendaklah merasa takut dgn jawatan keran ia satu amanah yg besar dan boleh menyebabkan dia hanyut dengan nikmat jawatn tersebut.


Lalu Umar menjawab:


والله لا أدعك أتضعون أمانتكم وخلافتكم في عنقي ثم تتركونني


“Demi Allah aku sesekali tidak akan membiarkan kamu, adakah kamu meletakkan amanah dan tugas khalifah ke pundak ku kemudian kamu meninggalkan aku.”


# Kita tidak boleh membiarkan pemimpin tertinggi membuat kerjanya tanpa dibantu. Setiap orang ada peranannya. Ingat, kita berkerja kerana Allah bukan keran jawatan.


Akhirnya Said pun setuju dengan jawatan tersebut. Beliau pun berangkat menuju ke Hims (tempat di Syria) bersama isterinya yang baru dikahwini. Saidina Umar telah membekalkan harta yang banyak kepadanya. Apabila sampai di Hims, isterinya hendak menggunakan duit tersebut utk membeli pakaian dan perabot yang sesuai dengan kedudukan mereka sebagai pemerintah Syam. Lalu suaminya berkata:


ألا أدلك على خير من هذا ؟! نحن في بلاد تجارتها رابحة ، وسوقها رائجة ، فلتعط هذا المال من يتجر لنا فيه وينميه


“Mahukan aku tunjukkan kepadamu penggunaan harta yang lebih baik dari ini?! Kita berada di Negara yang mana perniagaannya menguntungkan dan pasarannya meluas. Sebaiknya harta ini dilaburkan kepada pedagang-pedagang untuk dikembangkan.”


Isterinya menjawab:


فإن خسرت تجارته


“Kalau perniagaan ini mengalami kerugian?”


Sa’id berkata:


لن تخسر بإذن الله


“Tidak rugi dengan izin Allah.”


Isterinya berkata:


فنعم إذن


“Kalau begitu, baiklah.”


Sa’id pun keluar membawa hartanya yang banyak. Beliau telah membeli barang keperluan yang penting utk kehidupan mereka dan selebihnya telah diagih-agihkan kepada fakir miskin.


# Inilah sikap seorang mukmin yang mengutamakan keuntungan akhirat dari keuntungan dunia dan lebih mengumpulkan amalan dari mengumpul harta yang fana. Harta yang diifak itu kekal dan yang digunakan sendiri itu akan akan musnah.


Masa pun berlalu, siisteri bertanya kepada suaminya tentang perkembangan duit yang dilaburkan. Sa’id menjawab:


إنها تجارة موفقة وإن الأرباح تنمو وتزيد


“Sesungguhnya perniagaan mencapai sasaran dan keuntungan berkembang dan bertambah.”

Suatu hari siisteri melontarkan soalan yang sama kepada seorang saudaranya yang mengetahui perkara sebenar. Saudaranya tersenyum diikuti dengan ketawa yang menimbulkan keraguan dalam hati siisteri. Siisteri bersungguh-sungguh menyuruh saudaranya memberitahu perkara sebenar. Akhirnya dia memberitahu bahawa sa’id sudah menginfakkan kesemua hartanya sejak awal lagi. Siisteri amat terkejut dan berasa sangat sedih kerana barang yang dihajati tidak diperolehi dan harta sudah habis. Said berkata:


لقد كان لي أصحاب سبقوني إلى الجنة ، وما أحب أن أنحرف عن طريقهم ولو كانت لي الدنيا وما فيها


“Sesengguhnya sahabat-sahabatku telah mendahului aku menjejaki syurga. Aku tidak mahu melencong dari cara hidup mereka sekalipun aku memiliki dunia dan isinya.”


Sa’id berkata kepada isterinya:


تعلمين أن في الجنة من الحور العين والخيرات ما لو أطلت واحدة منهن على الأرض لأضاءتها جميعا ، ولقهر نورها نور الشمس والقمر معا ، فلأن أضحي بك من أجلهن أحرى وأولى من أن أضحي بهن من أجلك


“Ketahuilah sesungguhnya dalam syurga terdapat bidadari dan pelbagai nikmat yang mana kalau salah satu dari nikmat tersebut muncul di bumi ini pasti akan menyinari seluruh bumi dan cahayanya akan mengalahkan cahaya matahari dan bulan. Aku mengorbankanmu demi mendapatkan nikmat syurga lebih patut dan lebik baik dari aku mengorbankan nikmat syurga kerana untuk mendapatkanmu.”


Akhirnya siisteri tunduk denga kehendak suaminya dan hidup dengan cara suaminya untuk mendapatkan syurga.


# Inilah sikap suami yang tegas dalam melaksanakan perintah Allah dalam rumah tangganya. Si sisteri juga akhirnya memahami suaminya yang lebih mementingkan akhirat dari segalanya.


Suatu hari khalifah Umar al-Khattab telah melawat Hims dan bertanya tentang pemerintahan Sa’id. Mereka telah mengadu kepada Umar 4 perkara:

1. Dia keluar untuk menemui kami setelah hari kesiangan.
2. Pada waktu malam dia tidak menenemui kami.
3. Dalam sebulan dua kali dia tidak keluar menemui kami.
4. Kadang dia pengsan dengan tiba2.


Umar berbisik pada tuhan dengan berkata:

الهم إني أعرفه من خير عبادك ، اللهم لا تخيب فراستي فيه

“Ya Allah sesungguhnya aku mengenal sebagai salah seorang dari hambamu yang terbaik. Ya Allah janganlah dikau kecewakan firasatku terhadapnya.”


Adapun jawapan Sa’id terhadap persoalan tersebut adalah seperti berikut:


Jawapan pertama:

“Sesungguhnya aku tidak keluar melainkan setelah kesiangan. Demi Allah Aku benci utk memberitahu sebabnya (kerna takut riya’ dan ujub). Sesungguhnya isteri aku tidak mempunyai khadam. Aku telah menguli tepung dan aku membiarkannya sehingga ia naik dan kemudian aku membakarnya menjadi roti. Kemudian aku solat duha dan setelah itu baru aku keluar.


# Inilah pemimpain yang hebat yang tidak menggunakan duit rakyat untuk kepentingan dirinya. Pemimpin yang tidak lupa untuk menguruskan urusan rumahnya. Kerja2nya dengan rakyat tidak melalaikannya dari melakukan tanggung jawab dirumah.


Jawapan kedua:

Adapun aduan mereka yg menyatakan aku tidak menerima aduan pada waktu malam. Sesungguhnya aku benci untuk menyatakan sebabnya. Sesungguhnya aku menjadikan waktu siang untuk rakyat dan waktu malam untuk tuhan.


# Inilah pemimpin yang tidak lupa kepada tuhannya. Sesibok mana pun seorang pemimpin terhadap rakyatnya, hendaklah dia memberi masa setiap hari untk bermunajat kepada tuhannya. Kalau kita bagi 24 jam rakyat sekalipun , kita tidak mampu menyelesaikan semua masalah yang timbul. Namun apabila kita memperuntukkan sebahagian masa diakhir malam untuk tuhan, pasti Dia akan membantu kita untuk mentadbir sesuatu tempat dengan sempurna.


Jawapan ketiga:

Sesungguhnya aku tidak keluar menemui rakyat dua hari dalam sebulan. Ini kerana aku tidak ada khadam untuk membasuh bajuku dan aku hanya mempunyai sehelai baju. Pada hari tersebut aku membasuh baju dan aku menunggu sehingga ianya kering. Setelah lewat petang aku baru keluar menemui rakyat.


# Inilah pemimpin yang sangat sederhana dalam hidupnya. Tidak mengambil kesempatan untuk mencari kekayaan melalui kerajaan yg dipimpinnya.


Jawapan keempat:

Aku kadang-kadang pengsan. Ini kerana aku telah melihat ketika khubaib al-Ansari dibunuh di mekah. Orang quraisy telah memotong kulitnya. Apabila aku mengingati peristiwa tersebut yang berlaku ketika aku masih musyrik dan aku teringat bahawa aku tidak membantu Khubaib ketika itu menyebab aku menggeletar kerana takut Azab Allah swt. Ini menyebabkan aku pengsan.


# Dia berasa amat bersalah dan takut tuhan mengazabnya kerana tidak membantu seorang muslim yang diseksa. Walaupun jelas dia tidak dipersoalkan kerana waktu itu dia masih musyrik. Bagaimana dgn kita yg hanya memandang sepi apabila melihat ummat Islam dibunuh dan diperangi.

Jawapan Sa’ad ini diakhiri dengan tangisan yang membasahi bibirnya.


Umar pun berkata:

الحمد لله الذي لم يخيب فراستي

“Segala puji bagi Allah yang tidak mengecawakan firasatku.”


Beliau memeluk Sa’id dan mencium dahinya.


# Inilah proses muhasabah yang perlu diadakan diantara pemimpin dan rakyatnya.

Rujukan: Qasasus Salihin oleh Haidar Muhyiddin Askif.

Pengertian Fitnah Menurut Al-Quran dan Sunnah

MAKNA FITNAH DARI SEGI BAHASA DAN ISTILAH

Kalimah Fitnah الفتنة dalam bahasa arab bermaksud: Ujian dan cubaan.

Imam Ibnu Hajar berkata : Asal kepada makna fitnah adalah الإختبار (ujian) dan الإمتحان )ujian)

Ibnu Manzur berkata: Al-Azhari dan lainnya berkata:

“Asal makna fitnah adalah الإبتلاء (cubaan), الإمتحان (Ujian) dan الإختبار (ujian).”

Adapun dari segi istilah ulama adalah seperti yang didefinasikan oleh Jurjani:

“Perkara yang dilakukan untuk mengetahui kebaikan atau keburukan sesuatu.”

FITNAH DALAM QURAN

Makna fitnah dalam Quran adala berbeza. Ianya seumpa berikut:

1. Fitnah bermaksud Syirik.

Firman Allah :

والفتنة أشد من القتل

“Syirik lebih dahsyat dosanya daripada membunuh.” (191 : al-Baqarah)

وقاتلوهم حتى لا تكون فتنة

“Dan perangilah mereka supaya tidak berlakunya syirik.” (193 : al-Baqarah)

والفتنة اكبر من القتل

“dan Syirik lebih besar dosanya dari membunuh.” (217 : al-Baqarah)

2. Fitnah dengan makna ujian dan cobaan.

Firman Allah:

وفتناك فتونا

“Dan kami uji kamu (Nabi Musa) dengan pelbagai ujian yang besar.” (40 : Toha)

ولقد فتنا الذين من قبلهم

“Dan sesungguhnya kami telah menguji ummat yang terdahulu.” (3 : al-Ankabut)

3. Fitnah bermaksud seksa

Firman Allah:

إن الذين فتنوا المؤمنين والمؤمنات

“Sesungguhnya orang-orang yang menyeksa orang-orang beriman lelaki dan perempuan … “

Begitu juga makna fitnah pada ayat 10 surah al-Ankabut, ayat 14 surah az-Zariat dan ayat 110 surah an-Nahl.

4. Fitnah bermaksud dosa.

Firman Allah:

ومنهم من يقول ائذن لي ولا تفتني ألا في الفتنة سقطوا

“Dan sebahagian mereka ada yang berkata “izinkanlah aku untuk tidak berperang dan janganlah menyebabkan aku berbuat dosa. Ketahuilah mereka telah terjebak dalam dosa (dengan tidak mahu pergi berperang).” (49 : at-Taubah)

5. Fitnah bermaksud kekufuran.

Firman Allah:

لقد ابنغوا الفتنة

“Sesungguhnya mereka inginkan kekufuran.” (48 : at-Taubah)

Begitu juga fitnah dalam ayat 7 surah Ali imran.

6. Fitnah bermaksud pembunuhan dan kebinasaan.

Firman Allah:

إن خفتم أن يفتنكم الذين كفروا

“Sekiranya kamu takut orang-orang kafir membunuh kamu.” (101 : an-Nisa)

Begitu juga fitnah pada ayat 83 surah Yunus.

7. Fitnah bermaksud berpaling dari jalan yang benar.

Firman Allah:

واحذرهم أن يفتنوك

“Dan berwaspadalah dari mereka yang hendak memesongkan kamu dari jalan kebenaran.” ( 49 : Maidah)

Begitu juga dalam ayat 73 surah al-Isra.

8. Fitnah bermaksud sesat.

Firman Allah :

ومن يرد الله فتنته

“Dan sesiapa yang Allah hendak menyesatkannya.” (41 : al-Maidah)

Begitu juga fitnah dalam ayat 162 surah as-Soffat.

9. Fitnah bermaksud alasan.

Firman Allah :

ثم لم تكن فتنتهم إلا أن قالوا والله ربنا ما كنا مشركين

“kemudian tidaklah ada alasan mereka melainkan mereka berkata “Demi Allah wahai tuhan kami, kami bukannya orang-orang musyrikin.” (23 : al-An’am)

Sebahgian tafsir menyatakan fitnah disini bermaksud jawapan.

10. Fitnah bermaksud gila

فستبصر ويبصرون بأيكم المفتون

“Maka kamu akan lihat hai Muhammad dan mereka akan lihat siapakah yang gila.” (6 : al-Qalam)

FITNAH DALAM HADIS

1. Fitnah bermaksud perselisihan dan peperangan

Nabi saw bersabda:

ستكون فتن القاعد فيها خير من القائم

“Akan berlaku perselisihan dan peperangan, orang yang melihatnya lebih baik dari orang yang menyebabkannya ia berlaku.” (Hr Bukhari dan Muslim)

2. Fitnah bermaksud ujian dan cubaan

Nabi saw bersabda:

فاتقوا الدنيا واتقوا النساء فإن أول فتنة بني إسرائيل كانت في النساء

“Maka hendaklah kamu berwaspada terhadap dunia dan waspada terhadap wanita, sesungguhnya fitnah yang mula2 menimpa bani Israel adalah wanita.” (Hr Muslim)

3. Fitnah bermaksud melalaikan dan melekakan.

Hadis Nabi saw:

وإن كان ليسمع بكاء الصبي فيخفف مخافة ان تفتن أمه

“Sekiranya baginda mendengar tangisan bayi, baginda akan meringankan solatnya kerana bimbang ibunya akan terleka dengan tangisan ibunya.” (Hr Bukhari)

4. Fitnah bermaksud penyeksaan dan pembunuhan

Nabi saw bersabda:

كان الرجل يفتن في دينه إما قتلوه وإما يعذبونه

“Dahulu seorang lelaki di seksa kerana mempertahankan agamanya, samada orang-orang kafir membunuhnya atau menyeksanya.” (Hr Bukhari)

5. Fitnah bermaksud berlaku kemungkaran dan kemaksiatan.

Nabi saw bersabda:

إذا أتاكم من ترضون خلقه ودينه فزوجوه إلا تكن فتنة في الأرض وفساد عريض

“Apabila datang seorang lelaki yang baik agama dan akhlaknya melamar anak mu maka hendaklah kamu kahwininya dengan anak mu. Kalau tidak, akan berlaku kemungkaran dan kerosakan yang besar di muka bumi.” (Hr Ibnu Majah)

6. Fitnah bermaksud memaksa untuk kembali kufur.

Nabi bersyair ketika menggali parit di peperangan khandak:

إن الأعداء قد بغوا علينا إذا أرادوا فتنة أبينا

“Sesungguhnya musuh-musuh telah menganiaya kami. sekiranya mereka hendak memaksa kami kembali kufur, kami enggan. (Hr Bukhari dan Muslim)

7. Fitnah bermaksud menjauhkan dari agama

Nabi saw bersabda kepada Muaz ra:

يا معاذ أفتان أنت؟

“Wahai Muaz adakah engkau hendak menyebabkan manusia lari dari ajaran agamanya?” (Hr Bukhari dan Muslim)

Kesimpulan: Fitnah mempunyai pelbagai makna dan maksud di dalam Quran dan hadis Rasulullah saw. Orang melayu selalu menggunakan fitnah untuk makna tuduhan, sehinggakan mentafsirkan kalimah fitnah ayat berikut dengan tuduhan palsu, sedangkan maknanya adalah syirik:

والفتنة أشد من القتل

“Syirik lebih dahsyat dosanya daripada membunuh.” (191 : al-Baqarah)

Banyak di kalangan orang melayu termasuk ustaz2 yang mentafsirkan fitnah kepada tuduhan yang tidak benar. Sedangkan tidak ada fitnah yang bermaksud tuduhan dalam Quran, hadis dan bahasa arab. Ini satu pentafsiran mengikut hawa nafsu. Nabi saw bersabda:

من قال في القرأن برأيه أو بما لم يعلم فليتبوأ مقعده من النار

“Sesiapa yang berkata tentang quran dengan akal fikirannya atau apa yang dia tidak tahu ilmu tentangnya maka hendaklah menempati tempatnya di neraka.” (Hr Tirmizi)

Firman Allah swt:

أو تقولوا على الله ما لا تعلمون

“… Allah mengharamkan kamu bercakap tentang Allah apa yang kamu tidak tahu.” (33 : al-Araf)

Berhati2lah ketika kita mentafsirkan al-Quran kerana ia adalah kalamullah. Kita tidak boleh mentafsirkan sendiri dan kita hendaklah hanya mengambil dari para pentafsir yang muktabar.

Rujukan: Sofawatut Tafasir oleh Sobuni, Tafsir Ibnu Kathir dan al-Fitnah oleh Dr Ibrahim ad-Darwisy.

Hakikat Penyakit Riak

Firman Allah dalam surah al-Ma’un ayat 4-6 yang bermaksud:

"Maka celakalah bagi orang yang solat. (Iaitu) orang yang lalai solatnya dan orang-orang yang riak."


Pengertian riak

Riak itu ialah melakukan kebaikan dan amal ibadat semata-mata untuk mencari tempat di dalam hati manusia.

Perkara yang diriakkan oleh manusia;

1. Riak dari segi badan

Riak jenis ini menunjukkan seseorang itu menampakkan keletihannya kerana berpuasa dan banyak berjaga malam untuk beribadat.

2. Riak pada pakaian

Seseorang itu memakai pakaian yang menunjukkan kewarakan dirinya sedangkan hakikatnya tidak. Memakai pakaian sebegini di hadapan golongan tertentu kerana kepentingan diri sedangkan di waktu lain dia bukanlah sebegitu malah hatinya juga bukanlah berniat untuk mendapat keredhaan Allah tetapi mengharap penghormatan daripada orang lain.

3. Riak dengan perkataan

Riak ini adalah seseorang itu menunjukkan dirinya seorang yang benar dan ikhlas melalui perkataan yang keluar dari bibirnya. Tuturnya seperti seorang penasihat dan pensyarah. Dia memilih lafaz-lafaz yang halus dan dalam maknanya juga kata-kata hikmat beserta hadith. Dia juga berkata seperti kata para Nabi dan aulia sedangkan pada hakikatnya dia sebenarnya sunyi dan kosong.

4. Riak pada amalan

Orang sebegini adalah sering menzahirkan khusyuk dalam solat dan sengaja memanjang-manjangkan rukuk dan sujud apabila ada orang melihatnya. Orang seperti ini sering bersedekah secara terang-terangan, pergi menunaikan fardhu haji, berjalan menundukkan kepala dan kurang berpaling ke kanan dan ke kiri padahal Allah mengetahui batinnya. Sedangkan jika dia bersendirian amalannya bukan sempurna sebegitu, seperti solat dengan cepat, berjalan laju dengan matanya sering meliar ke sana ke mari dan sebagainya.

5. Riak dengan ramainya murid dan pengikut

Seseorang itu berasa bangga dengan murid dan pengikut yang ramai. Demikian juga seperti seseorang yang sering menyebut nama ulama’ itu dan ulama’ ini bagi menunjukkan dirinya seorang yang banyak bertemu dengan syeikh dan ulama.


Peringkat Riak


1. Riak Akbar

Riak akbar ialah seseorang itu taat melakukan ibadat tetapi untuk mendapatkan sesuatu daripada manusia dan bukanlah untuk beroleh keredhaan Allah SWT. Riak ini adalah berpaling terus daripada Allah pada keseluruhannya kerana hanya berkiblatkan manusia.

2. Riak Asghar

Riak asghar ini pula ialah melakukan sesuatu untuk mendapatkan apa yang ada pada manusia dan apa yang pada Tuhan iaitu melakukan amal kerana Allah dan kerana yang lain daripada-Nya. Riak ini adalah lebih ringan daripada riak akbar kerana orang itu menghadap Allah pada satu segi dan kepada manusia pada satu segi yang lain.

3. Riak Jali (yang terang)

Riak ini ialah mendorong seseorang itu untuk melakukan amal ibadat. Sehinggakan jika tanpa riak ini dia tidak berminat untuk melakukan amal.

4. Riak Khafi (yang tersembunyi)

Riak ini pula tersembunyi di dalam hati di mana ianya mendorong seseorang itu untuk lebih rajin beribadat.


Punca Riak

Sebab-sebab yang boleh membawa kepada penyakit riak ini antaranya ialah;

1. Sifat suka dipuji oleh orang lain.

Sifat ini akan membawa kepada bangga diri dan suka menunjuk-nunjuk kelebihan kepada orang lain.

2. Takut dikritik atau dicerca oleh orang lain.

Ketakutan ini boleh membawa kepada penampilan yang kurang jujur dan suka berpura-pura.

3. Cintakan kehidupan dan kemewahan dunia dan lupa pada kematian.

Seseorang itu melakukan segala pekerjaan adalah semata-mata kerana untuk menarik perhatian orang lain, dan menganggap dirinya hebat. Manusia sebegini mengharapkan ganjaran atas segala pekerjaan yang dilakukan.


Bagaimana mengelakkan sifat riak?

Rawatan terbaik bagi segala penyakit di muka bumi ini adalah dengan menjauhi sebab-sebab dan punca terjadinya penyakit.

Terdapat beberapa cara untuk menghindari sifat riak daripada menguasai hati;

1. Sentiasa mengingatkan diri sendiri tentang perkara yang diperintahkan Allah dan juga sering menyucikan hati dengan melakukan ibadat-ibadat khusus seperti zikir dan membesarkan kekuasaan Allah.

2. Mengawasi diri agar sentiasa takut akan kemurkaan Allah. Dengan ini akan membawa diri agar sentiasa berwaspada dalam melakukan perkara yang boleh mengheret kepada dosa dan seksaan Allah pada hari akhirat kelak.

3. Berwaspada terhadap perkara-perkara yang boleh menghapuskan pahala amalan yang dilakukan akibat riak.

4. Menanamkan di dalam diri bahawa melakukan sesuatu perkara kerana manusia sehingga membawa kemurkaan Allah itu patut dijauhkan.

5. Sentiasa mengawasi diri daripada lalai terhadap ujian dan nikmat yang dikurniakan Allah untuk menghampirkan diri kepada Allah.

6. Ikhlaskan diri dalam setiap amalan yang dilakukan. Apabila berasa suka dipuji dan diberi penghargaan setiap kali membuat sesuatu perkara yang baik dan berasa terhina apabila ditegur, maka inilah tanda wujudnya sifat riak.

Adakalanya terdapat juga orang yang melakukan amal kebajikan dengan niat ikhlas kerana Allah, namun dia mendapat mendapat perhatian daripada orang lain atas amalannya. Keadaan ini tidak diambil kira sebagai riak kerana dia sememangnya niat dengan ikhlas pada awalnya. Namun, untuk melakukan satu-satu ibadat pada permulaannya akan menyebabkan timbulnyaperasaan riak dan rasa bangga diri, namun apabila amal itu sering dilakukan dan berterusan dengan niat ikhlas pastinya perasaan riak itu akan terhapus sedikit demi sedikit.

Janganlah takut untuk pergi ke masjid, mendengar tazkirah, menunaikan solat jemaah dan sebagainya kerana takut akan dikatakan riak sedangkan dengan riak itulah akan mendorong dan menggalakkan kita untuk beramal dan meningkatkan ibadat. Tetapi, jangan biarkan perasaan riak itu terus menerus menguasai diri kerana apabila ada riak dalam setiap amalan maka amalan yang dilakukan adalah sia-sia belaka.